UTB raikan pencapaian pelajar, kecemerlangan staf




Oleh : Pg. Siti Redzaimi Pg. Haji Ahmad / Foto : Dk. Nur Hafilah Pg. Osman






BERAKAS, Selasa, 16 September. - Universiti Teknologi Brunei (UTB) meraikan pencapaian akademik para pelajar serta kecemerlangan profesional warga akademik dan bukan akademik dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan UTB 2025 yang berlangsung di Dewan Plenary, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.


Majlis berkenaan diadakan bersempena dengan Majlis Konvokesyen UTB 2025 dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh, Pengerusi Majlis UTB yang juga selaku tetamu kehormat majlis.


Turut hadir, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Rakyat China ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Xiao Jianguo; Naib Canselor UTB, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah binti Haji Sulaiman serta Ahli-ahli Majlis UTB yang lain.


Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Naib Canselor UTB. Dalam ucapannya, Datin Paduka Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah menekankan bahawa anugerah hari ini adalah untuk meraikan dan mempromosikan budaya kecemerlangan di universiti.


“Sepertimana jua yang dititahkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, Canselor Universiti Teknologi Brunei (UTB) dalam Majlis Konvokesyen Ke-12 pada 7 September 2024 agar pihak UTB menyediakan tenaga pengajar yang berkualiti tinggi untuk keberkesanan keseluruhan sistem pendidikan," tegasnya.


Beliau juga berharap pengiktirafan ini akan memotivasikan penerima-penerima lebih jauh dan memberi inspirasi dan contoh kepada yang masih belajar di UTB.


Tambahnya lagi, penerima-penerima dalam kalangan siswazah akan bergelar duta dan beliau berharap sebagai duta, mereka akan membawa imej positif kepada UTB serta akan terus menjadi individu yang cemerlang dalam kerjaya dan sentiasa memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat.


Pada majlis itu, tetamu kehormat juga menyampaikan Anugerah Kecemerlangan Staf (Staff Excellence Award - SEA) yang mengiktiraf pencapaian cemerlang dalam pengajaran, penyelidikan serta pentadbiran dalam kalangan staf akademik dan bukan akademik.


Sebanyak 18 orang warga UTB menerima anugerah berkenaan yang meliputi kategori Teaching Excellence Award, Research Excellence Award, Administrative Excellence Award serta Special Mention Award.


Penerima utama menerima plak kenangan, sijil penghargaan dan wang tunai sebanyak BND1,000, manakala penerima Special Mention menerima sijil penghargaan.


Majlis turut menyaksikan penyampaian Anugerah Kecemerlangan Siswazah kepada graduan yang bukan sahaja berjaya menamatkan pengajian, bahkan cemerlang dalam bidang masing-masing.


Antara penerima utama ialah graduan Ijazah Sarjana Muda Sains (Kepujian) dalam Komunikasi, Dayang Basma Lachkar, yang juga menerima Pingat Canselor UTB atas pencapaian cemerlangnya dalam bidang akademik dan sukan.


Beliau juga merupakan Atlet Wushu Kebangsaan yang pernah mewakili negara ke kejohanan serantau dan antarabangsa, sekali gus mengharumkan nama Negara Brunei Darussalam.


Selain itu, turut disampaikan ialah Anugerah Penerbitan, Anugerah Dekan, Anugerah Pasport Pencapaian Pelajar (Student Achievement Passport - SAP) serta Anugerah Pilihan Orang Ramai bagi UTB Project Showcase 2025.


Seramai 55 pelajar menerima Anugerah Senarai Dekan sebagai pengiktirafan terhadap pencapaian akademik cemerlang mereka, manakala 12 pelajar menerima Anugerah Kokurikulum termasuk kategori Khidmat Masyarakat, Anugerah Keagamaan (Lelaki dan Perempuan), Anugerah Budaya, serta Anugerah Olahragawan dan Olahragawati UTB.


Bagi kategori inovasi, seramai 11 penerima diraikan melalui Anugerah Pilihan Orang Ramai hasil sumbangan mereka dalam UTB Project Showcase 2025. Majlis tersebut turut mendapat sokongan daripada pelbagai penaja termasuk kedutaan, institusi kewangan, syarikat minyak dan gas, sektor industri serta syarikat tempatan.


Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, Anugerah Kecemerlangan Staf menjadi acara tahunan bagi menghargai sumbangan warga akademik dan bukan akademik dalam menjayakan misi serta hala tuju strategik UTB.


Close